Ketika Kamu Menangis, Ketika Kamu Disakiti, Ketika Kamu Tak Kuat Lagi, Ketika Doamu Seakan Tak Terjawab...Percayalah Dan Yakinlah Olehmu Bahawa ALLAH Menghampirimu Saat Itu...
Showing posts with label KES ANAKKU TERSEDAK SUSU DI TASKA. Show all posts
Showing posts with label KES ANAKKU TERSEDAK SUSU DI TASKA. Show all posts

Friday, August 26, 2011

TERSEDAK SUSU : Ketahui cara beri bantuan kecemasan

Terbaca artikel ni...teringat kat arwah Nazhan...bagaimanalah saat dia menghadapi keadaan itu...ummi mohon maaf x mampu menyelamatkan...huhu..apapun Nazhan dah pun bahagia di sana...sama2lah kita sedekahkan al-Fatihah di bulan yg mulia ini buat arwah Muhammad Syamil Nazhan yg amat dirindui dan dikasihi....

KES kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap bulan, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.

Ia sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi, Dr Nik Rosenorleyaney Nik Ibrahim, kes kematian akibat menyusu ketika tidur atau sedar berpunca daripada bayi yang ditinggalkan menyusu bersendirian tanpa pengawasan.
Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka.

“Dalam tubuh manusia, terdapat dua saluran iaitu pernafasan pada bahagian hadapan manakala saluran makanan pada bahagian belakang. Apabila bayi minum dalam keadaan tergesa-gesa atau mungkin lubang puting botol yang terlalu besar, susu akan terus mengalir tanpa henti ketika bayi tertidur.

“Sudah tentu bayi tidak mempunyai daya untuk menarik botol itu sendiri menyebabkan susu memasuki saluran pernafasan, seterusnya ke dalam paru-paru. Apabila ini berlaku, biasanya bayi akan tersedak atau batuk iaitu tindakan refleks yang menunjukkan bayi memerlukan pertolongan atau perlindungan.

“Namun, bagi bayi yang ditinggalkan berseorangan, sudah tentu tidak mendapat maklum balas menyebabkan bayi lemas kerana tidak dapat bernafas. Walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ini sudah cukup untuk melemaskan mereka.

“Dalam masa beberapa saat saja jika tidak diberi bantuan kecemasan segera, bayi akan terus meninggal dunia,” jelasnya mengulas beberapa kejadian yang berlaku, baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai penjaga sama ada pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu kemudian mereka meninggalkan bayi minum sendirian tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana, ia boleh meningkatkan risiko bayi lemas. Sepatutnya, ibu bapa dan pengasuh menyusukan bayi mereka dengan cara yang betul.

“Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya. Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.

“Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi. Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.
“Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan. Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur,” katanya.

Selain bayi, kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas juga boleh mengalami sesak nafas disebabkan tercekik makanan seperti kacang atau gula-gula. Ini disebabkan mereka makan sambil bermain dan akhirnya makanan itu masuk ke dalam saluran pernafasan, seterusnya ke bahagian paru-paru.
Sama seperti kes tersedak susu, jika tidak diberi rawatan segera, mangsa akan terus meninggal dunia.
Menurut Dr Nik Rosenorleyaney, bagi mengelak bayi meninggal dunia akibat tersedak susu atau tercekik makanan, ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai pengalaman melakukan rawatan kecemasan di rumah.
“Sekiranya bayi tersedak susu atau tercekik makanan, segera angkat bayi, kemudian tepuk belakang mereka beberapa kali dengan cara membiarkan muka ke bawah atau meniarapkan bayi di atas lutut kemudian tepuk belakang bayi sehingga makanan atau cecair keluar dari mulut bayi dan bayi menangis seperti biasa.
“Ini menandakan mereka sudah boleh bernafas. Bagi bayi yang tercekik makanan, sekiranya makanan yang ada dalam mulut kanak-kanak tidak keluar, korek sehingga mereka terbatuk atau memuntahkan makanan itu.
“Tindakan ini perlu dilakukan segera dalam satu minit pertama sebelum mangsa dibawa ke hospital. Dikhuatiri kelewatan melakukan bantuan kecemasan ini akan menyebabkan anda kehilangan orang yang tersayang,” katanya.
Selain tersedak susu dan tercekik makanan, kebanyakan kematian mengejut membabitkan bayi dan kanak-kanak berpunca daripada sindrom goyangan bayi, tidur meniarap dan kecederaan bilik mandi.

Ramai ibu bapa tidak tahu hayunan di dalam buaian boleh menyebabkan gegaran pada otak bayi. Ini kerana di dalam otak bayi masih mempunyai ruang di antara tengkorak dan otak. Gegaran yang kuat akan menyebabkan berlakunya pendarahan, seterusnya menyebabkan kematian.
“Kebanyakan ibu bekerja menggunakan buaian untuk memudahkan kerja. Namun ada yang menggoyang terlalu kuat mengikut irama suara anak, semakin kuat anak menangis, hayunan lebih kuat. Sebaiknya ajar anak tidak menggunakan buai atau membiarkan buai tidak bergerak.
“Ini termasuk sama ada buaian biasa atau elektrik yang turut memberi risiko sama,” katanya yang mengakui biasanya kes yang dirujuk di hospital menunjukkan bayi tidak mengalami demam atau sawan tetapi meninggal secara tiba-tiba.
Daripada imbasan dijalankan, didapati berlaku pendarahan otak yang sukar diselamatkan.

Tambahnya, ada juga kes bayi yang meninggal ketika tidur yang boleh dikategorikan sebagai sindrom kematian mengejut. Ini berlaku bagi bayi yang tidur meniarap.
“Menidurkan bayi secara meniarap boleh menyebabkan bayi lemas dan akhirnya meninggal dunia secara tiba-tiba. Ini berlaku bagi bayi yang masih belum berupaya mengangkat dan memusingkan kepala sendiri. Biarkan bayi tidur terlentang bagi mengelak lemas.
“Pastikan alas digunakan lembut dan tidak tenggelam. Elakkan penggunaan selimut kerana turut memberi risiko sekiranya kain itu menutupi muka bayi,” katanya.
Perkara yang jarang diambil perhatian ialah keselamatan di bilik mandi. Sekiranya anak sudah pandai merangkak dan berjalan, sentiasa pastikan pintu bilik air tertutup dan tiada baldi atau besen berisi air.
Walaupun air di dalamnya hanya berisi enam inci, ia sudah cukup melemaskan bayi sekiranya muka bayi termasuk di dalamnya dan seterusnya menyekat saluran pernafasan.
Ibu bapa bekerja yang menghantar anak ke pusat penjagaan kanak-kanak harus memastikan pusat penjagaan itu mempunyai sijil yang sah juga pengasuh berpengalaman yang mempunyai pengetahuan mengenai bantuan kecemasan.
Di samping itu, tinjau kawasan sekitar seperti tandas, dapur, tempat tidur dan tempat bermain yang selamat untuk anak mereka.

Panduan keselamatan ketika di pusat penjagaan kanak-kanak:

> Pastikan pusat penjagaan kanak-kanak tidak menggunakan buai.
> Setiap bayi tidur di dalam katil masing-masing dan diasingkan mengikut usia bagi mengelak bayi terlanggar atau terpijak.
> Menggunakan peralatan tidur yang selamat misalnya tilam yang tegang dan rata supaya bayi senang bergerak.
> Mempunyai peralatan untuk mensterilkan susu sama ada untuk susu formula atau ibu bagi mengelak keracunan makanan.
> Orang yang menyediakan susu adalah orang yang sama. Ini bagi mengelak tertukar susu terutama bagi bayi yang alah dengan susu lembu.
> Pemberian susu botol harus diberikan secara orang perseorangan mengikut posisi menyusu badan. Elakkan memberi susu ketika bayi berbaring.
> Tempat menguruskan bayi harus diasingkan daripada dapur atau memasak makanan di tempat lain kemudian dibawa ke pusat penjagaan kanak-kanak. Ini bagi memastikan kebersihan serta mengelak kanak-kanak bermain dengan peralatan berbahaya di dapur.
> Elakkan penggunaan cerek, sebaiknya gunakan termos yang boleh dikunci.
> Pastikan mainan yang tidak berbucu atau bersegi yang boleh menyebabkan kanak-kanak menggunakannya untuk mengetuk kepala kanak-kanak lain.
> Hanya menggunakan barang permainan yang tidak mempunyai pewarna berbahaya.
> Anak patung haruslah yang mudah dibasuh serta tidak menyebabkan alahan terutama penyakit asma.

Monday, October 11, 2010

SAMA-SAMA KITA RENUNGKAN.....

SALAM...terbaca dalam utusan online bertarikh 7 Oktober 2010....sekadar nak berkongsi info dgn rakan2....berita ni leh kita jadikan panduan sama ada kepada ibubapa yg hendak menghantar anak ke taska dan juga kepada mereka yg ingin membuka taska...

JKM tiada kuasa tutup taska ‘maut’
 Oleh NORLIZA ABD. RAHMANpengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 6 Okt. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai kuasa menyenaraihitamkan pusat asuhan kanak-kanak (taska) walaupun premis tersebut pernah terlibat dengan kes kematian bayi tercekik susu.
Fakta mengejutkan itu didedahkan sendiri oleh Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rahid yang mengakui bahawa kuasa agensi itu hanyalah mengarahkan taska tersebut menutup sementara operasi bagi membolehkan siasatan dijalankan.
‘‘Sekiranya pengusaha terbabit membuka taska baru dan permohonannya diluluskan oleh agensi teknikal iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan, kita tiada halangan untuk mengeluarkan permit.
‘‘Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan taska yang dipilih mempunyai permit dan mereka dinasihatkan tidak meletakkan nyawa anak dalam risiko,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengetuai operasi menyita taska di Presint 18 yang pernah mengakibatkan kematian adik Nur Amiera Mohd. Shahrul Niezam, sembilan bulan, 20 September lepas.
Taska tersebut diberi Notis Penutupan Sementara mulai 27 hingga 29 September lepas selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 20A (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1983.
Meme seterusnya berkata, taska yang mempunyai lesen operasi lebih terjamin keselamatannya dan memenuhi kriteria ditetapkan oleh agensi teknikal.
Antara punca kegagalan mendapatkan permit ialah nisbah pengasuh dengan kanak-kanak yang tidak mencukupi.
‘‘Kegagalan berbuat demikian boleh mengundang risiko kepada anak jagaan mereka, sekiranya ada taska yang beroperasi tanpa lesen, ibu bapa boleh membuat aduan kepada JKM berhampiran,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif terkini yang dilakukan oleh JKM ialah menubuhkan pasukan khas di setiap negeri dan daerah yang terdiri daripada pegawai JKM sendiri untuk memantau dan memeriksa 2,077 buah taska yang belum berdaftar.
Dalam menguatkuasakan akta tersebut, JKM menyediakan buku garis panduan bagi pendaftaran taska untuk memudahkan pengusaha membuat rujukan serta membantu mempercepatkan proses pendaftaran.
Meme menambah, bagi memudahkan urusan pendaftaran, penurunan kuasa meluluskan perakuan pendaftaran daripada Ketua Pengarah kepada Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri telah dilaksanakan.
Selain itu, tempoh sah perakuan pendaftaran juga dilanjutkan daripada 12 bulan kepada 60 bulan.
Tegas beliau, pengusaha dan bakal pengusaha perlu mendapatkan maklumat mengenai keperluan penubuhan taska sebelum memulakan operasi bagi mengelak masalah mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal dan JKM semasa membuat permohonan pendaftaran.
‘‘Pendekatan JKM ialah memberi galakan dan bimbingan secara berterusan tetapi tindakan undang-undang akan tetap diambil jika berlaku kecuaian atau pengusaha masih enggan atau tidak berusaha untuk mendaftar,” katanya.
Beliau turut mengakui walaupun JKM terpaksa mengambil tindakan menutup operasi taska tidak berlesen, pihaknya masih menerima rayuan daripada ibu bapa untuk mahu terus menghantar anak mereka atas alasan tiada pengasuh ketika keluar bekerja.

GOOD NEWS....

SYUKUR ke hadrat ILAHI..akhirnya kekusutan yg melanda kami sekeluarga akhirnya terjawab....walaupun anak sulong kami telah pergi utk selamanya...kami redha dan berharap dapat bertemu dgnnya d Akhirat sana...insya Allah....sama2lah kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah Muhammad Syamil Nazhan...al-Fatihah......

Sebenarnya ini yg ingin dikongsikan....hari ini tanggal 6 Oktober 2010 (rabu) jam 1.07 ptg...saya telah mendapat sms dari wartawan Harian Metro menyatakan bahawa "Taska Indera Cemara telah DITUTUP...owner nya cabut lari semalam...pagi tadi ada sidang media dgn JAbatan Kebajikan Masyarakat...esok akan masuk paper"...persoalannya...kenapa owner tu lari?bagaimana nasib pekerjanya?anak2 yg dibawah jagaannya? mudah2 aje dia lari macam tu je?teruk sungguh!

apepun..kami sangat2 berterima kasih kepada media..tanpa mereka sudah tentu taska itu tidak akan ditutup...sekurang2nya nasib putera sulong kami dan anak kedua Puan Mazliana terbela jua...kami tak pasti owner itu akan disaman atau tidak...ape2 pun...kita baca berita selanjutnya di Harian Metro esok....pihak JKM akan beri penjelasan.... 

terima kasih jua kepada sanak saudara n sahabat2 yg selama ini tak putus2 mendoakan kami..memberi semangat kpd kami utk terus tabah menghadapi ujian Allah yg hebat ini...semoga kami sekeluarga akan terus sabar menghadapinya...pasti ada sinar di hadapan sana yg kita tak tahu....sama2lah kita berdoa.....;)

PENDEDAHAN KES KEMATIAN BAYI PERTAMA DI TASKA INDERA CEMARA

 SALAM..pertama sekali kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara mara dan sahabat2 yg selama ini memberi sokongan n semangat kepada kami...atas sokongan korang semua..kami akhirnya membuat keputusan utk mendedahkan kes kematian putera sulong di Taska Indera Cemara tahun lalu...juga atas permintaan Puan Mazliana yg kematian anak keduanya di taska yg sama pada 20 September 2010. Beliau meminta kami supaya mendedahkan perkara tersebut bagi memberi pengajaran kepada penyelia taska itu. Kami berharap dengan pendedahan ini..pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera menutup taska yg tidak berlesen itu dan mendakwa penyelia yg tidak berhati perut itu!!!

Berikut adalah berita lanjut dalam Utusan Malaysia bertarikh 2 Oktober 2010...anda semua juga boleh dapati berita ini dalam Harian Metro dan Berita Harian tarikh yang sama.

Pasangan pertama anak mati tercekik susu buat pendedahan
Dakwa pusat asuhan cuai
Oleh NAZMIL NASIRUDDINpengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 1 Okt. - Sebelum ini, pasangan suami isteri ini enggan tampil memberi kenyataan walaupun anak mereka meninggal dunia kerana didakwa tercekik susu di sebuah pusat asuhan di sini tahun lepas.
Tetapi kerana bersimpati dengan nasib yang dialami oleh satu lagi pasangan suami isteri yang kehilangan anak kerana sebab yang sama di pusat asuhan, mereka akhirnya bersetuju untuk membuat pendedahan mendakwa sebab kecuaian pusat asuhan itu.
Sofiah Noor Yahya, 27, dan suaminya, Saiful Afzan Abdul Rashid, 27, yang kehilangan anak sulung, Muhammad Syamil Nazhan Saiful Afzan berumur empat bulan pada Julai tahun lalu, kesal kerana tiada tindakan yang diambil selepas berlaku satu lagi kes kematian bayi.
Sofiah berkata, sehingga sekarang dia dan suaminya tidak dapat menerima alasan sama yang diberikan oleh pemilik pusat asuhan berkenaan yang mendakwa bayinya sebelum ini memang tidak sihat.
"Alasan yang mengatakan anak saya tidak sihat adalah tidak benar sama sekali dan dia begitu ceria gelak ketawa ketika itu, kami sempat bermain-main sebelum menghantarnya ke pusat asuhan itu.
"Saya berasa sangat sedih dan terkilan kerana itulah rupanya kali terakhir saya dapat bermain-main dan memeluk ciumnya," kata ibu itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita mengenai kematian anak pertamanya tahun lepas yang didakwa akibat kecuaian sebuah pusat asuhan di sini hari ini.
Sofiah berkongsi nasib malang dengan pasangan Mazliana Nordin, 27, dan suaminya, Mohd. Shahrunniezam Reihan, 36, yang kehilangan anak mereka, Nuramierah Mohd. Shahrunniezam di pusat asuhan yang sama pada 20 September lalu.
Muhammad Syamil merupakan bayi malang pertama yang terkorban di pusat asuhan berkenaan sebelum Nuramierah.
Sofiah berkata, dia dimaklumkan oleh doktor bertugas bahawa anaknya sudah tidak bernyawa apabila tiba di Hospital Putrajaya berdasarkan keadaan kulitnya yang sudah kebiru-biruan.
Dia turut kesal dengan tindakan pihak pengurusan pusat asuhan tersebut yang menyebarkan khabar angin mengatakan anaknya memang sudah sakit apabila dihantar ke situ.
"Saya amat terkilan dengan sikap pusat asuhan tersebut yang lepas tangan selepas kejadian tersebut.
"Saya sedia membantu dan memberi sokongan kepada Mazliana yang mengalami nasib yang sama," kata Sofiah yang juga merupakan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sementara itu, suaminya, Saiful Afzan berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memandang serius terhadap kes kematian itu agar tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
Saiful yang bertugas sebagai guru berkata, disebabkan kejadian yang menimpa anak pertamanya itu, mereka kini fobia mahu menghantar anak keduanya yang berumur empat bulan ke mana-mana pusat asuhan kerana takut tragedi buruk itu berulang.

LANJUTAN KISAH KEMATIAN BAYI di TASKA INDERA CEMARA

SALAM..dengan penuh harapan saya berharap tindakan undang-undang yg akan diambil oleh Puan Mazliana akan terlaksana...ingin sekali saya bertemu dengan Puan Mazliana..tapi bagaimana ya? ..memang apa yg didakwa oleh Pn. Mazliana itu benar...sepertimana yg saya alami dulu...namun apakan daya...saya tidak sanggup melihat anak saya dianiya utk kali kedua (1-meninggal kerana tersedak susu..2-jasadnya pula akan dibedah siasat).apepun saya redha dgn ketentuan Ilahi dan berharap pihak taska terbabit akan mendapat balasannya kelak.kpd PUAN KHAIRANI BINTI DATO' HAJI KHALID DAN CIK IDAYU...walaupun di dunia ini kamu berdua terlepas....kami yakin...di Akhirat sana..kamu pasti akan mendapat balasan yg seburuk2 balasan kerana tidak melaksanakan amanah dgn penuh tanggungjawab dan jujur!!!!!
berikut adalah lanjutan berita tentang kematian bayinya dalam utusan online 30 September 2010. Anda juga boleh dapati berita ini di Harian Metro hari ini 30 September 2010.


Ibu bapa Nuramierah mahu ambil tindakan undang-undang

PUTRAJAYA 29 Sept. - Ibu bapa mana yang tidak sedih dengan kematian seorang anak hanya kerana kecuaian pusat taska yang diberi sepenuh kepercayaan menjaga insan kesayangan semasa keluar bekerja.
Anak yang dihantar ke pusat jagaan dengan gelak tawa malangnya dibawa pulang dalam keadaan sudah terbujur kaku.
Walaupun reda dengan pemergian anak yang baru mengenal dunia selama sembilan bulan namun sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab pusat taska terbabit harus memberi pengajaran kepada ibu bapa yang lain.
Berikutan itu, ibu bapa kepada bayi malang itu, Nuramierah Mohd. Shahrunniezam, 9 bulan, bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas taska terbabit yang cuba menafikan anak mereka pernah diletakkan di bawah penjagaan pusat itu.
Lebih menyakitkan hati ibu Nuramierah, Mazliana Nordin, 27, Taska Indera Cemara yang terletak di Presint 18 itu cuba menghebahkan berita bahawa penutupan operasi sementara waktu oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah disebabkan penularan penyakit kaki, tangan dan mulut.
"Saya pasrah di atas ketentuan ini namun saya harap ibu bapa lain dapat mengambil iktibar di atas kejadian ini supaya ia tidak berlaku kepada anak mereka.
"Saya kesal dengan sikap pemilik taska itu yang langsung tidak mahu meminta maaf atau sekadar ucapan takziah sebaliknya tidak mengaku pula bahawa anak saya dihantar ke situ semata-mata tidak mahu perniagaannya lingkup," katanya pada sidang akhbar di rumahnya, di sini hari ini.
Nuramierah disahkan mati akibat tercekik susu oleh doktor yang merawatnya di Hospital Putrajaya di sini pada 20 September lalu.
Kematian Nuramierah adalah kes kedua bayi mati akibat tercekik susu semasa di bawah penjagaan pusat asuhan yang dilaporkan berlaku di Putrajaya selepas kejadian sama menimpa seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Fairuz Mohammad.
Bagi kes Nuramierah pula, difahamkan insiden menimpa bayi malang itu adalah kali kedua berlaku di pusat asuhan terbabit setelah bayi seorang guru dilaporkan mati di situ pada 7 Julai tahun lalu.
Bapa Nuramierah, Mohd. Shahrunniezam Reihan, 36, mendakwa pihak taska itu sebelum ini meminta ibu bapa mangsa kes pertama itu menandatangani surat mengatakan bayi mereka sakit semasa dihantar di situ.
Ia bertujuan mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
"Sekiranya mereka cuba untuk berbuat perkara yang sama, saya mempunyai bukti yang cukup termasuk gambar dan rakaman video yang diambil sehari sebelum kematian anak saya yang membuktikan dia sihat," katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Mohd. Shahrunniezam berkata, taska terbabit telah menetapkan undang-undang bahawa ibu bapa dilarang masuk ke dalam ruang penjagaan kanak-kanak dan hanya dibenarkan menghantar dan mengambil anak di pintu.
"Walaupun saya pernah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena tetapi saya berfikiran positif bahawa tidak mungkin mereka melakukan perkara yang tidak baik memandangkan ia terletak di pusat pentadbiran kerajaan.
"Saya juga langsung tidak menyangka bahawa taska itu tidak pernah berdaftar dengan JKM kerana saya fikir taska ini yang terbaik memandangkan mereka juga menjaga anak saya yang pertama, Muhammad Emier," jelasnya.
Menurut Mohd. Shahrunniezam, siasatan awal JKM mendapati taska terbabit hanya mempunyai tiga orang pengasuh untuk 29 kanak-kanak di situ.
"Menurut JKM, taska itu juga enggan memberikan kerjasama apabila diminta memberi senarai nama kanak-kanak di situ dan hanya menyatakan ianya hilang," katanya.
Usaha jurugambar Utusan Malaysia untuk mengambil gambar di pusat taska itu juga cuba dihalang oleh pemiliknya dan mengugut untuk mengambil tindakan.

BAGAIMANA MAHU HENTIKAN SEMUA INI!!!

SALAM semua...berita dalam utusan online hari ini..28 September 2010amat mengejutkan saya di mana seorang ibu yg senasib dgn saya telah kehilangan seorang bayi perempuannyadi taska Indera Cemara,Presint 18, Putrajaya (taska di mana telah meragut nyawa putera sulong saya).ini adalah KES KEDUA berlaku di taska tersebut!! nasib wanita tersebut tidak ubah seperti yg saya alami ketika itu...penyelia taska tersebut (puan Khairani) mengambil sikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan terhadap kes tersebut..dia dan pembantunya juga turut menjaja cerita yg tidak benar kepada ibu bapa yg hendak menghantar anak mereka di situ.mereka menyatakan bahawa bayi saya mati akibat sudah sakit lama dan kami tidak memaklumkan kepada mereka..bukan itu saja!mereka turut mengatakan yg kami memberi susu yg sangat murah kepada bayi kami...(susu tepi jalan???ada ke???)sangat2 tidak logik...sehingga kini bermacam2 cerita yg kami dengar,kononnya utk membesihkan nama baik taskanya...tengok!!Allah itu maha berkuasa...bisnes taskanya tidak akan diberkati selagi dia mengambil sikap LEPAS TANGAN..saya amat2 hampa dgn JKM, di mana laporan saya tidak diendahkan...hanya membuang air liur memberi laporan di depan pegawai JKM.mereka tidak dapat berbuat apa2 kerana Puan Khairani adalah anak seorang KENAMAAN!!mengapa mesti ada sikap yg begini kepada pegawai JKM????selagi tindakan tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa...selagi itulah taska itu akan terus membuka cawangannya di sekitar PUTRAJAYA..dan semakin ramailah bayi2 yg tidak berdosa..bayi2 yg sihat...mati begitu saja!!!diharap dgn tindakan yg diambil oleh puan mazliana nordin...pihak yg berkuasa akan bertindak segera!!saya tidak sanggup melihat bayi saya diposmoterm...itu adalah prosedur hospital jika hendak menyaman pihak taska..bayi yg mneninggal perlu dibuat bedah siasat terlebih dahulu.
berikut adalah berita lanjut ibu yg malang itu...

Ibu kesal pusat asuhan terlepas walaupun berlaku 2 kes kematian


PUTRAJAYA 27 Sept. - Seorang ibu berasa sedih dan terkilan apabila setelah bertarung nyawa melahirkan bayi perempuan pertama melalui pembedahan, namun cahaya mata itu mati akibat tercekik susu, gara-gara kecuaian pusat asuhan yang menjaga anaknya tersebut.
Kelahiran Nuramierah Mohd. Shahrunniezam memang dinanti-nantikan oleh Mazliana Nordin, 27, dan suaminya, Mohd. Shahrunniezam Reihan, 36, bagi melengkapkan keluarganya setelah memperoleh anak sulung lelaki sebelum itu.
Malah, kelahiran anak kedua Mazliana itu amat menggembirakan ibunya, Kalsom Karim, 50, kerana pertama kali mendapat cucu perempuan.
Apatah lagi dalam keluarga mereka memang tidak ramai perempuan memandangkan Mazliana merupakan anak perempuan tunggal daripada empat adik-beradik.
Namun, malang sekali permata hati itu hanya sempat dibelai dan dilihat membesar sembilan bulan kerana Nuramierah disahkan mati akibat tercekik susu oleh doktor yang merawatnya di Hospital Putrajaya di sini pada 20 September lalu.
Kematian Nuramierah adalah kes kedua bayi mati akibat tercekik susu semasa di bawah penjagaan pusat asuhan yang dilaporkan berlaku di Putrajaya pada minggu lalu.
Pada Jumaat lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Fairuz Mohammad dilaporkan mati akibat tercekik susu setelah dibiarkan minum susu bersendirian oleh pengasuh.
Bagi kes Nuramierah pula, difahamkan insiden menimpa bayi malang itu adalah kali kedua berlaku di pusat asuhan terbabit setelah bayi seorang guru dilaporkan mati di situ pada 7 Julai tahun lalu.
Meskipun demikian. dua kes itu tidak menghalang pusat asuhan tanpa lesen terletak di Presint 18 di sini terus beroperasi, malah tinjauan Utusan Malaysia di premis terbabit mendapati ibu bapa masih lagi menghantar anak-anak mereka di pusat asuhan berkenaan pada hari ini.
Difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengetahui kewujudan pusat asuhan yang beroperasi tanpa lesen itu tetapi sehingga kini tidak mengambil tindakan terhadap pemiliknya yang dikatakan anak seorang kenamaan.
Menurut Mazliana, dia dihubungi oleh pemilik pusat asuhan terbabit memaklumkan Nuramierah dihantar ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya, setelah mendapati tubuh anaknya tersebut bertukar kebiruan pada pukul 2 petang, 20 September lalu.
"Kejadian itu berlaku pada hari pertama saya bekerja selepas pulang bercuti ke kampung saya di Perling, Johor, untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Dalam keadaan cemas, saya bergegas ke hospital dan menunggu kira-kira setengah jam sebelum dimaklumkan doktor, bayi saya sudah meninggal dunia akibat tercekik susu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks E7, Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Mazliana yang merupakan pembantu tadbir di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Kesihatan memberitahu, dia berasa amat terkilan apabila pemilik pusat asuhan menjaga bayinya bersikap lepas tangan selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, pemilik pusat asuhan itu langsung tidak meminta maaf atau membuat laporan polis, sebaliknya menyebarkan khabar angin kononnya Nuramierah mati kerana sudah sakit semasa dihantar oleh ibunya pada hari kejadian.
Tuduhan pemilik pusat asuhan terbabit dinafikan sekeras-kerasnya oleh Mazliana kerana katanya, bayinya sihat sebelum itu, malah hasil laporan bedah siasat mengesahkan Nuramiera mati semasa dihantar oleh pengasuh ke hospital akibat tercekik susu.

Sama2 kita fikirkan..bagaimana hendak hentkan semua ini...kami yg merasai...amat2 kesal dgn sikap manusia yg sebegini!!!

**difahamkan insiden menimpa bayi malang itu adalah kali kedua berlaku di pusat asuhan terbabit setelah bayi seorang guru dilaporkan mati di situ pada 7 Julai tahun lalu REFER kepada anak kami Muhammad Syamil Nazhan.**
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

:::Pelawat dari Syurga:::

:::Penyeri Hidup Kami:::