Bagi
ibu2 yg baru mengenali dunia penyusuan susuibu, pelbagai persoalan
bermain di fikiran mereka. Adakalanya perkara2 tersebut membuatkan sesi
penyusuan utk si comel buahati tersayang akan terganggu. Jom kita semak
persoalan yg popular di kalangan ibu2 breastfeed ni, rujukan utk mama
juga! ^_^
1.Soalan:
Kenapa menyusu awal itu penting?
Jawapan:
Hisapan di peringkat awal amat penting kerana:
* Dapat merangsang pengeluaran awal susu. Lebih banyak bayi menghisap payudara, lebih banyak susu akan dihasilkan kemudian.
* Dapat melindungi bayi dari jangkitan. Ketika bayi menyusu di hari-hari
permulaan kelahirannya, dia akan menerima kolostrum yang berwarna
kekuningan.
Kolostrum
ini dan susu sebenar yang keluar beberapa hari kemudian mengandungi
kandungan anti-jangkitan yang tinggi seperti immunoglobulins dan sel-sel
putih yang menjadi sumber perlindungan utama dari jangkitan. Perlu
ditekankan bahawa bayi yang menyusu dengan susu ibu adalah lebih sihat
dan kurang terkena cirit birit atau penyakit lain.
2. Soalan:
Bilakah waktu yang sesuai bagi ibu mula menyusukan bayinya?
Jawapan:
Waktu terbaik untuk memulakan penyusuan ialah selepas kelahiran dan
perlu dilakukan secepat mungkin jikalau ibu mampu melakukannya.
Meletakkan bayi ke dada ibu sebaik sahaja bayi lahir adalah pengalaman
yang cukup berharga.
Dalam
tempoh dua jam selepas bayi lahir, kemampuan menghisap berada pada
tahap yang tinggi. Sesetengah bayi tidak berminat untuk hendak menyusu
sebaik sahaja lahir. Jangan bimbang jika mendapati bayi anda mengantuk,
membiarkan dirinya dibelai atau dilihat sahaja. Mungkin selepas itu baru
dia berkeinginan hendak menyusu. Hisapan bayi pada payudara merangsang
pengeluaran hormon yang akan menjadikan rahim menguncup. Ini membantu
menyembuhkan sakit selepas bersalin.
3. Soalan:
Berapa lamakah harus saya menyusu pada sebelah payudara?
Jawapan:
Paling baik ialah memberikan penyusuan
yang singkat tetapi kerap kerana ini dapat membuatkan susu keluar lebih
cepat dan meningkatkan kuantiti susu ibu. Ia juga memberi peluang
kepada puting untuk menyesuaikan dengan hisapan bayi. Keinginan bayi
menyusu boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu. Bayi akan menentukan
dengan sendiri masanya dia ingin menyusu. Melalui cara ini, bayi akan
menghisap sebelah payudara sehingga payudara itu kosong. Ini membolehkan
dia mendapat khasiat susu yang kaya dan berkrim yang terhasi di hujung
penyusuan.
Susu yang keluar di 'akhir' setiap penyusuan digelar "hind milk". Susu
akhir ini mengandungi khasiat lemak yang diperlukan untuk pembesaran
bayi. Ibu diminta supaya menyusu bayi menggunakan payudara yang sebelah
lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya. Bayi akan menunjukkan
tanda-tanda sama ada hisapan pada sebelah payudara sahaja mencukupi atau
tidak. Jika ia mencukupi, bayi akan menarik mulutnya keluar atau pun
tertidur di payudara ibu. Jika bayi masih terjaga dan aktif mencari
payudara, ini bermakna dia perlukan susu lagi. Oleh itu, berikan
payudara yang sebelah lagi. Di awal kelahirannya, bayi memerlukan
penyusuan yang kerap dan banyak bagi menjamin tumbesarannya.
4. Soalan:
Bilakah susu mula dihasilkan?
Jawapan:
Diantara hari pertama dan keempat
selepas kelahiran, susu sebenar yang berwarna putih akan mula
dikeluarkan.Pada peringkat ini, kolostrum akan bercampur dengan susu
baru, menjadikan ia kelihatan pekat berkrim. Secara perlahan-lahan,
iaitu kira-kira seminggu kemudian, kolostrum akan berkurangan dan susu
kelihatan cair, kebiruan dan berkeadaan seperti air. Inilah rupa susu
ibu yang sebenar.
Sesetengah ibu mendapati payudara mereka penuh dan berat. Ini dipanggil
bengkak susu. Sesetengah bayi akan kehilangan berat dalam tempoh
beberapa minggu pertama. Bagaimanapun, berat bayi akan meningkat sebaik
sahaja payudara ibu mula mengjasilkan susu.
5. Soalan:
Kenapa bayi tidak diberi susu formula atau air sementara menunggu susu ibu terhasil sepenuhnya?
Jawapan:Penting
untuk dipastikan bayi tidak diberi apa jua penyusuan jenis lain kerana
ia akan mengganggu penyusuan susu ibu. Jumlah kolostrum yang sedikit dan
susu awal yang diperolehi oleh bayi dari payudara adalah mencukupi
untuk tempoh beberapah hari sehingga susu ibu terhasil sepenuhnya dalam
kuantiti yang banyak.
6. Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan "Permintaan menyusu"?
Jawapan:
Kajian
menunjukkan bahawa faktor paling penting untuk menghasilkan susu ialah
membenarkan bayi menyusu sebaik sahaja selepas lahir. Ibu yang mula
menyusukan sebaik sahaja selepas bersalin akan cenderung untuk terus
menyusu dengan berkesan. Bila penyusuan lewat dimulakan, kebanyakkan ibu
akan berasa putus asa untuk meneruskan penyusuan.
Oleh itu, membantu ibu memulakan penyusuan secepat mungkin adalah satu
cara paling berkesan bagi seseorang untuk membantu ibu menyusu. Perkara
lain yang tidak kurang penting ialah menggalakkan ibu menyusu sekerap
mungkin atau selama mungkin. Ini disebut 'permintaan menyusu'(demand)
tidak perlu dihadkan berapa lama tempoh menyusu dan jarak diantara
setiap penyusuan. Meletakkan bayi dekat dengan ibu di dalam bilik yang
samaa akan menjadikan keinginan menyusu semakin meningkat dan mudah.
Kini, semakin banyak hospital mendapati cara ini amat praktikal (Bukan
sebab nurse malas nak jaga tau!).
7. Soalan:
Mengapa bayi yang baru lahir menyusu dengan kerap?
Jawapan:
Pada peringkat awal, bayi kelihatan ingin menyusu dengan kerap dan ibu
menjadi letih untuk melayan permintaannya. Si ibu perlu berasa yakin
bahawa dia perlu meluangkan masa dengan menyusu bayi dalam tempoh dua,
tiga atau empat hari yang pertama. Jika dalam tempoh berkenaan, dia
kerap melayan permintaan bayi untuk menyusu, susunya akan menjadi
semakin banyak dan bayi akan lebih mudah menghisap di kemudian hari.
Jika ibu hendak menjarakkan masa antara penyusuan, tempoh maksimum yang
biasa dicadangkan ialah tiga jam. Jika jarak antara penyusuan terlalu
lama iaitu melebihi empat jam, bayi akan kelihatan meragam dan tidak
senang.
8. Soalan:
Bagaimana mengatasi masalah bayi yang tidur dan tidak mahu menyusu?
Jawapan:
Sesetengah bayi sentiasa dalam keadaan mengantuk dan lebih banyak tidur
daripada berjaga. Bayi seperti ini perlu dikejutkan untuk penyusuan.
Dalam tempoh 24 jam, adalah biasa bagi seorang bayi menyusu sebanyak 12
kali atau lebih. Sekurang-kurangnya, bayi perlu mendapat enam atau tujuh
penyusuan sehari. Bayi yang sentiasa mengantuk, mungkin disebabkan oleh
jangka masa bersalin yang lama atau kesan ubat-ubatan yang diberikan
kepada ibu ketika proses bersalin.
9. Soalan:
Bagaimana memastikan bayi mendapat susu yang cukup:
Jawapan:
Jika ibu menyusu bayi berdasarkan
keperluan bayi dan dengan kerap, ibu pasti akan mengeluarkan susu
secukupnya. Cara mengenalpasti bayi mendapat susu yang cukup ialah:
*Bayi membuang air sebanyak tujuh hingga lapan kali sehari (hanya dengan
meminum susu ibu sahaja tanpa mencampurkannya dengan jus atau susu
formula)
* Berat badan bayi bertambah. Berat mingguan perlu diperiksa sepanjang bulan.
* Bayi membuang air besar dalam kadar yang tetap. Tetapi tidak
semestinya setiap hari. Sesetengah bayi pula membuang air besar dengan
kerap. Manakala ada yang tidak membuang selama seminggu.
* Mata bayi kelihatan bercahaya. Kulit dan ototnya kelihatan berada dalam keadaan baik.
10. Soalan:
Bagaimana jika bekalan susu ibu tidak mencukupi?
Jawapan:
Kadangkala ibu beranggapan bahawa pengaliran susu amat kurang dan tidak
mencukupi untuk bayi. sebenarnya, anggapan ini salah. Ibu perlu yakin
bahawa susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Jika ibu terasa
susunya kurang, dia boleh menambahnya dengan cara:
* Menyusu dengan lebih kerap. Lebih banyak bayi menghisap payudara,
lebih banyak susu akan dihasilkan. Kekerapan menyusu akan menghasilkan
lebih banyak susu.
* Bertenang ketika menyusu akan membantu susu mengalir dengan baik. Ibu
boleh makan makanan ringan, minum, membaca buku, mendengar muzik,
menonton TV atau melakukan senaman pernafasan ketika bayi mula menyusu.
Tumpukan perhatian kepada otot-otot. Cara ini juga boleh menjadikan ibu
tenang.
* Berehat pada waktu siang. Ibu perlu tidur lebih di siang hari bagi
menggantikan gangguan tidur di waktu malam kerana bayi hendak menyusu.
Menjaga bayi baru lahir adalah satu tugas yang meletihkan. Ibu perlu
menggalakkan bayi dan anak kecil yang lain tidur bersamanya pada waktu
tengahari.
* Makan makanan berkhasiat. Ibu perlu makan makanan seimbang. Bukan makanan ringan atau tidak berkhasiat.
11. Soalan:
Kenapa susu saya kelihatan cair?
foremilk & hind milk
Jawapan:
Jika bayi kelihatan meragam dan tidak puas hati, dia mungkin tidak
menerima susu yang kaya dan berkrim dihujung penyusuan. Susu ini
dipanggil 'susu akhir'. Cara terbaik untuk memperbetulkan masalah ini
ialah dengan memberikan susu dengan sebelah payudara sahaja setiap kali
menyusu. Cara ini dapat memastikan yang bayi menerima semua peringkat
susu iibu berikut:
* 'susu pertama' (foremilk) kelihatan seperti air biasa bertujuan untuk menghilangkan dahaga.
* 'susu pertengahan' mengandungi lebih khasiat protein.
* 'susu akhir' (hind milk) kelihatan lebih pekat dan berkrim kerana kaya
dengan khasiat lemak. Bayi memerlukan susu ini untuk membolehkan berat
badannya meningkat. Cara ini baik untuk membantu bayi yang kurang berat
badan menambah berat badannya.
Pastikan ibu mengingati yang dia perlu menyusu dengan payudara sebelah
lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya. Ibu boleh lekatkan pin
pada baju dalam untuk memudahkan dia mengingatinya. Bayi yang kurang
berat badan sejak lahir memerlukan penyusuan yang kerap sepanjang siang
dan malam.
12. Soalan:
Apakah yang perlu saya lakukan jika susu saya mengalir dengan pantas menyebabkan bayi saya sering tersedak?
Jawapan:
Jika bayi sering tersedak kerana susu mengalir terlalu pantas, ibu boleh melakukan perkara di bawah:
* Hentikan penyusuan selama satu minit. Kemudian, masukkan semula puting
ke mulut bayi apabila pengaliran susu semakin perlahan. Untuk menarik
keluar mulut bayi tanpa menyebabkan puting sakit, ibu boleh masukkan
jari bersih dihujung mulut bayi. Satu cara lain untuk mengatasi masalah
ini ialah dengan memerah susu terlebih dahulu bagi mengeluarkan
pengaliran susu yang pantas.
* Menyusu pada kedudukan berbaring dengan meletakkan bayi di atas dada
ibu akan menyebabkan bayi menghisap susu naik ke atas. Ini bermakna bayi
menghisap ke arah bertentangan dengan graviti. Oleh itu, pengaliran
susu naik ke atas menjadi agak lambat berbanding pengaliran susu turun
ke bawah. Ibu mungkin menggunakan kaedah menyusu cara ini di waktu awal
pagi atau diwaktu permulaan penyusuan sahaja dimana pada waktu itu susu
biasanya mengalir dengan pantas. Apabila tiba diakhir penyusuan, ibu
boleh bertukar kepada menyusu cara duduk. Cara ini lebih menjamin
payudara dapat dikosongkan dengan sempurna.
13. Soalan:
Saya dapati susu saya meleleh dan membasahi baju, apa yang harus saya lakukan?
Jawapan:
Pada peringkat awal, ibu mengalami masalah susu sering meleleh keluar
dari payudara di waktu-waktu antara penyusuan. Masalah ini akan
berkurangan apabila payudara dapat menyesuaikan dengan jadual penyusuan
dan otot-otot disekitar puting berupaya mengawal pengaliran keluar susu
di waktu-waktu berkenaan.
Cuci payudara menggunakan air suam atau sejuk dan cuci lelehan itu agar
ia tidak mengotorkan baju atau baju dalam. penting untuk menukar pelapik
baju dalam dengan kerap agar puting tidak sakit atau berada dalam
keadaan lembap. Jangan gunakan pelapik plastik. Selain pelapik baju
dalam, ibu digalakkan menggunakan sapu tangan tetapi jangan menggunakan
tisu. Ketika menyusu, alaskan dengan lampin bersih atau cawan agar susu
boleh meleleh ke dalamnya. Seelok-eloknya, jangan pakai baju dalam agar
susu boleh mengalir bebas.
14. Soalan:
Apa yang dikatakan 'keliru puting' yang menyebabkan bayi enggan menyusu?
Jawapan:
Punca utama kenapa bayi enggan menyusu
ialah bayi terlebih dahulu diberi susu botol sewaktu dihospital. Bayi
menjadi keliru dengan kelainan puting ibu dan tidak mahu menghisap
dengan betul di payudara ibu. Dia sukar hendak belajar memasukkan puting
ke dalam mulutnya.
Dalam kedudukan menghisap yang baik, puting dan aerola akan meregang
keluar bagi membentuk seolah-olah satu puting yang panjang di dalam
mulut bayi. Lidah bayi akan menekan areola ke atas sehingga terkena
lelangit mulutnya. Cara ini akan menyebabkan susu mengalir keluar.
Dalam kedudukan menghisap yang tidak baik, puting tidak berada cukup
jauh ke dalam mulut bayi. Bayi hanya menghisap hujung puting sama
seperti kaedah menghisap puting botol. Dengan cara ini, susu tidak akan
keluar. Malah menyebabkan puting ibu terasa sakit. Kekeliruan terhadap
puting terjadi apabila bayi diberikan sekali atau dua kali penyusuan
menggunakan botol, bayi mungkin mempunyai kecenderungan untuk memilih
susu botol dan menolak susu ibu.
15. Soalan:
Bagaimana jika saya membawa bayi keluar dan saya harus menyusukannya?
Jawapan:
Bayi yang menyusu susu ibu mudah keluar dari rumah bersama ibu.
Selalunya, bayi akan dibawa ke tempat-tempat yang memudahkan dia menyusu
di mana sahaja. Biasanya, pusat membeli-belah ada menyediakan bilik
khas yang sesuai untuk para ibu menyusukan anak. Selain itu kini
terdapat alternatif untuk para ibu iaitu kain 'poncho', ia boleh
digayakan sebagai fesyen sekaligus, melindungi aurat ibu yang sedang
menyusukan dari dilihat umum. contohnya:
16. Soalan:
Bagaimana caranya saya mengetahui kejayaan menyusu bayi?
Jawapan:
Pastikan ibu berada dalam keadaan selesa dan tenang ketika menyusu bayi.
Ibu akan tahu bahawa susunya sudah keluar dalam tempoh kira-kira satu
atau dua minit selepas bayi mula menghisap. Ini berdasarkan:
* Pola hisapan bayi akan berubah kepada 'hisap dan telan - hisap dan
telan'. Ini bermakna bayi sedang minum susu ibu. Keadaan ini pasti akan
berlaku setiap kali bayi menghisap.
* Payudara akan menjadi suam panas dan seperti penuh. Ibu akan terasa
kawasan sekeliling payudara berdenyut sedikit. Pada masa yang sama, susu
dari payudara sebelah lagi mungkin turut menitis keluar. Bagaimanapun,
keadaan ini jarang berlaku setiap kali penyusuan.
Alhamdulillah, lengkap sudah persoalan-persoalan yang kerap ditanya
tentang penyusuan susu ibu. Iffa harap ia menjadi panduan buat ibu-ibu
semua. InsyaAllah, jika diberikan kesempatan akan Iffa share lebih
banyak lagi info-info tentang penyusuan susu ibu dan kesihatan.
Sumber Asal: iffa